




Sejambak Bicara

Bersyukur kita kehadrat Allah Yang Maha Besar kerana keizinanNya dapat kita menghasilkan satu laman PIBG SK Sultanah Asma.
Ucapan terima kasih dan sekalung tahniah kepada Yang DiPertua dan AJK PIBG yang melapangkan waktu bagi menjayakan dan memenuhi program sekolah. Saya amat berharap agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan anak-anak dalam segala aspek, tidak kira akademik, ko-kurikulum mahu pun sahsiah.
Tahniah juga di atas sokongan dan bantuan yang dihulurkan oleh PIBG, guru-guru dan para waris sekalian, Alhamdulillah sekolah kita telah dianugerahkan Sekolah Berprestasi Tinggi. Kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan padu dan kesatuan kita dalam menghasilkan yang terbaik demi anak-anak didik kita.
Justeru, bagi memantapkan lagi kualiti modal insan yang ingin dihasilkan, kita perlulah bekerja lebih keras bukan dengan hanya melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada guru semata-mata tetapi perlu dijalankan bersama.
Saya berharap agar para waris dapat mendekatkan diri dengan pihak sekolah iaitu dengan melibatkan diri di dalam Program Sarana Ibu Bapa di mana ianya merupakan program yang memerlukan penglibatan ibu bapa di dalam aktiviti di sekolah. Akhir kata, saya yakin melalui medan perjumpaan ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk memulihkan kepincangan dan rasa tidak puas hati serta menambah baikkan apa yang telah dilaksanakan. Usaha yang kental dalam kalangan murid-murid, ibu bapa dan pihak guru akan membuahkan hasil yang maksimum. Apa yang diimpikan dapat direalisasikan. Semoga usaha murni kita bersama diberkati Allah.
Sekian, terima kasih.